Pesuruhjaya Perdagangan UK bagi Asia Pasifik, Natalie Black berkata, kerjasama itu selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mempromosikan etika AI, dengan beberapa pihak telah menyuarakan kebimba­ngan berhubung perkara itu akhir-akhir ini.

“Kami telah mengadakan perbincangan kerajaan dengan kerajaan yang mana kami telah mengadakan pertemuan de­ngan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika beliau berkunjung ke UK pada awal tahun ini,” katanya pada persidangan NextBigTech Asia 2019 di sini hari ini.

Kerjasama teknologi antara Malaysia dan UK katanya, akan memacu penerapan AI dalam Revolusi Industri 4.0 pada kadar lebih cepat kerana ia dapat meningkatkan produktiviti secara menyeluruh.

Penyelidikan yang dijalankan termasuk oleh Microsoft, me­nurut pesuruhjaya perdagangan itu, telah menunjukkan guna pakai AI pada kadar lebih tinggi akan dapat mendorong inovasi serta meningkatkan produktivi­ti sebanyak 60 peratus.

Beliau juga berkata, persekitaran AI yang selamat akan menyumbang kepada ekonomi global yang lebih sihat dan lebih adil.

Semasa lawatannya ke UK pada Februari tahun ini, Go­bind dan delegasinya dilapor­kan mengadakan siri pertemuan dengan pegawai kerajaan UK untuk meneroka kerjasama dalam beberapa bidang terma­suk AI, keselamatan siber, 5G dan kandungan kreatif.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Century Tech, Priya Lakhani berkata, syarikat itu telah menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan untuk membawa teknologi AI ke sekolah di Malaysia.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada pertemuan antara mereka baru-baru ini, telah menyatakan minatnya untuk membolehkan orang ramai menggunakan teknologi yang betul.

“Beliau (Dr Mahathir) sa­ngat berminat dengan apa yang ditawarkan oleh Century Tech semasa kami menunjukkan kepadanya apa yang kami ada. Beliau bercita-cita untuk meletakkan guru terbaik di Malaysia di hadapan setiap kanak-kanak,’’ katanya.

Beliau memberitahu, syarikat itu telah melantik sekolah terpilih dalam usaha meningkatkan pendidikan di peringkat global, termasuk di Malaysia.

“Adalah menjadi aspirasi kami untuk meningkatkan pendidikan global dengan teknologi semasa terutama AI,” katanya. – BERNAMA