Menurut Penganalisis AmBank Research, Gan Huey Ling, ini kerana kebanyakan IPP tersebut dianugerahkan secara rundingan terus dan belum memperoleh sebarang pembiayaan daripada bank mahupun menandatangani perjanjian pembelian tenaga dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Antara syarikat yang diberikan projek jana kuasa oleh kerajaan terdahulu termasuklah Tadmax Resources. Pada Julai 2017, Tadmax menerima surat bersyarat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membina loji tenaga kitaran gas dengan gabungan 1,000 megawat (MW) di Pulau Indah, Selangor.

“Sementara itu, Cypark Resources pula menerima surat penerimaan daripada ST untuk membangunkan loji solar berskala besar 30MW di Ne­geri Sembilan melalui proses bidaan yang kompetitif,” katanya dalam nota kajian baru-baru ini.

Pada Oktober lalu, kerajaan memutuskan untuk memba­talkan empat projek IPP di­sebabkan gagal mematuhi syarat-syarat yang dikenakan dalam surat tawaran oleh pihak pemaju.

Empat projek berkenaan adalah Loji Jana Kuasa Gas berkapasiti 700 megawatt (MW) oleh Malakoff Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad di Kapar, Selangor; Loji Jana Kuasa Gas berkapasiti 1,400 MW oleh Aman Majestic Sdn. Bhd. dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Paka, Terengganu dan Loji Jana Kuasa Kitar Padu Gas berkapasiti 300 MW oleh Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn. Bhd. dan SM Hydro Energy Sdn. Bhd. di Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sandakan, Sabah.

Kuota tenaga solar sebanyak 400MW kepada Edra Power Holdings Sdn. Bhd. bagi pembangunan loji jana kuasa solar turut dibatalkan.

Tenaga diperbaharui

Menurut Huey Ling, sekalipun langkah itu sejajar dengan fokus jangka panjang kerajaan bagi loji tenaga diperbaharui (RE) tetapi dua isu utama perlu diberi perhatian iaitu membabitkan kos dan skala.

Kerajaan menyasarkan 20 peratus tenaga elektrik di Malaysia dijana menerusi RE menjelang 2030 berbanding ketika ini hanya dua peratus sahaja.

“Ketika ini, kos untuk membina dan mengendalikan loji tenaga solar adalah lebih mahal berbanding arang batu atau gas. Bagaimanapun, Agensi RE Antarabangsa menyatakan teknologi RE akan bersaing dengan harga bahan api fosil menjelang 2020,” katanya.

Berdasarkan Bloomberg New Energy Finance, kos ber­tingkat bagi RE di sesetengah negara adalah rendah berbanding gas dan arang batu. Di India, kos ini hanya AS$41/MWh (RM170.29/MWh) untuk solar photovoltaic (PV) berbanding AS$68/MWh (RM 282.44/MWh) untuk arang batu dan AS$93/MWh (RM386.28/MWh) bagi gas.

Kos bagi loji RE semakin menurun disebabkan kejatuhan harga solar panel, peningkatan kecekapan dan penggunaan bateri untuk menyimpan tenaga.

Sementara itu, menurut MIDF Research dalam Laporan Prospek 2019, bagi mencapai sasaran 20 peratus itu, industri dianggarkan memerlukan sejumlah 17GW kapasiti RE, dengan berdasarkan kepada 17 peratus faktor penggunaan kapasiti memandangkan keba­nyakan RE terdiri daripada solar.

“Jumlah ini dilihat agak besar berbanding pemasangan kapasiti sedia ada kira-kira 25GW yang ketika ini terdiri daripada loji bahan api fosil. Dengan menganggarkan sejumlah besar 17GW itu terdiri daripada solar, kami anggarkan panel solar akan memerlukan kawasan tanah yang luas iaitu 27,438 hektar,” katanya.

Harga arang

Dalam pada itu, katanya, surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) juga dijangka me­ningkat dalam tempoh separuh pertama 2019.

“Ini setelah mengambil kira peningkatan harga arang batu se­perti dilaporkan dalam suku ketiga 2018 oleh TNB dan juga penyusutan ringgit. Pada suku ketiga lalu, hasil TNB terjejas disebabkan harga arang batu yang tinggi pada RM422.60 per tan metrik berbanding sekitar RM360 tan metrik pada separuh pertama 2018,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, TNB menerima kelulusan daripada kerajaan menerusi Suruhanjaya Tenaga untuk terus melaksanakan mekanisme ICPT bagi separuh pertama tahun hadapan.

Menurut TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bagaimanapun, purata tarif asas kekal tidak berubah bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2019 di sebalik kos bahan api dan penjanaan yang tinggi yang ditanggung untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2018.