Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Suet Ling berkata, penilaian ekuiti Malaysia dianggap tidak terlalu murah pada 15 hingga 16 kali penilaian prestasi yang menunjukkan ke arah penyatuan.

“FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal antara 1,650 dan 1,700 mata pada separuh pertama tahun ini dan diunjurkan bergerak kepada paras sekitar 1,750 menjelang akhir tahun,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk United-i Global Balanced Fund di sini hari ini.

Tambah Lim, penilaian itu adil selepas mengambil kira semua sentimen dalam pasaran.

Katanya, penyatuan yang lebih lama adalah lebih baik berikutan masih terdapat kecairan dalam sistem dan orang ramai yang mempunyai wang menunggu peluang yang sesuai untuk melabur apabila pendapatan meningkat.

“Bagaimanapun, terdapat sektor tertentu dalam pasaran tempatan yang memiliki lebih banyak kuasa tawar-menawar dari segi perolehan. Kami akan terus menggemari pengguna, sektor automotif dan perkilangan manakala neutral ke atas bank dan mengurangkan ke atas sektor pembinaan, hartanah dan perladangan,” katanya.

Lim berkata, Malaysia masih dalam fasa peralihan selepas pilihan raya umum tahun lepas dengan kerajaan dalam proses membersihkan kedudukan fiskal negara.

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk membatalkan dan merundingkan semula harga beberapa projek mega adalah baik untuk ekonomi dalam jangka sederhana.

“Pasaran tidak menjangka sebarang kenaikan kadar oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini merupakan petunjuk baik untuk kestabilan. Bagaimanapun, kenaikan harga minyak akan memberi kesan kepada orang ramai dan pasaran perlu sensitif terhadap kadar inflasi,” katanya.

Kata Lim, cabaran yang dihadapi pasaran sekarang sebahagian besarnya disebabkan masalah luaran seperti pertikaian perdagangan AS-China, pilihan raya Asia yang akan datang, pertumbuhan China, Brexit dan tarif automotif di Eropah. - BERNAMA