Pengarah Urusannya, Laili Ismail berkata, bas itu akan membantu segera sekiranya terdapat bas yang mengalami kerosakan atau kecemasan di tengah jalan.

Menurutnya, tiga hentian utama berkenaan membabitkan Hentian Merapuh (laluan Kota Bharu (KB) - Kuala Lumpur), Terminal Kuantan (laluan KB-Melaka-Johor) dan Hentian Grik (KB ke Utara).

“Fungsi bas ‘siap sedia’ ini adalah untuk mempercepatkan penumpang sampai ke destinasi.

“Misalnya bas ada masalah di Gua Musang, bas yang berada di Hentian Merapuh akan turun mengambil penumpang dan meneruskan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ekspres Perdana di Pejabat Urusan Ekspres Perdana di Teluk Mesira di sini hari ini.

Laili berkata, setakat ini, Ekspres Perdana adalah syarikat pengangkutan bas pertama yang menyediakan bas yang siap sedia di hentian-hentian tersebut.

“Kita tetap memilih untuk buat bas ‘standby’ ini kerana kita mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk penumpang.

“Perkhidmatan bas ini telah mula dilaksanakan pada musim perayaan Aidilfitri lalu dan akan diteruskan setiap kali musim perayaan serta musim cuti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Laili berkata, sebanyak 92 buah bas yang akan beroperasi untuk musim perayaan Aidiladha nanti.

“Jualan tiket bas sempena Hari Raya Aidiladha nanti akan dibuka kepada orang ramai sebulan sebelum hari raya.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin berterima kasih kepada semua penumpang setia Ekspres Perdana yang sentiasa bersabar menghadapi kesesakan lalu lintas untuk pulang beraya baru-baru ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE