Bekas Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC), Chua Chun Chai berkata, pertumbuhan itu didorong oleh peralihan perdagangan berikutan kalangan pembeli AS memilih membeli perabot secara terus daripada negara Asia Tenggara termasuk Malaysia disebabkan oleh pertikaian perdagangan berkenaan.

Beliau berkongsi unjuran itu pada sidang media mengenai impak positif perang perdagangan AS-China terhadap pengeksport perabot Malaysia di sini hari ini.

Data yang dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menunjukkan eksport perabot Malaysia ke AS melonjak 20.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.55 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini manakala jumlah eksport perabot meningkat 9.6 peratus tahun ke tahun kepada RM4.14 bilion.

Mengulas lanjut, Chun Chai berkata, beliau yakin unjuran pertumbuhan 20 peratus itu mampu dicapai sekiranya isu seperti kekurangan buruh asing dan bahan mentah terutamanya kayu getah diuruskan dengan baik.

Bagaimanapun, beliau percaya kemasukan 20,000 pekerja asing untuk industri perabot tempatan yang diluluskan kerajaan baru-baru ini adalah mencukupi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi peningkatan permintaan terutamanya daripada AS.

“Ia juga akan membantu mencapai sasaran (jumlah) eksport sebanyak RM12 bilion menjelang 2021,” katanya.

Chun Chai berkata, prospek industri perabot tempatan adalah cerah dengan mengambil kira rantaian bekalan telah beralih dari China ke negara-negara Asia Tenggara.

“Kira-kira 600 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 20 peratus daripada 3,000 penggiat industri perabot telah mendapat manfaat daripada perang perdagangan AS-China ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, eksport perabot menurun tiga peratus tahun ke tahun kepada RM9.83 bilion pada 2018 dengan AS menyumbang 34.4 peratus bernilai RM3.38 bilion diikuti oleh Singapura (8.1 peratus bernilai RM797.8 juta) dan Jepun (7.6 peratus bernilai RM743.0 juta).

“Selain daripada pasaran tradisional, kami akan terus mengembangkan perabot kami ke pasaran lain seperti negara-negara Asia Barat dan negara-negara Asia Selatan seperti India dan Bangladesh serta negara-negara Afrika,” katanya. - BERNAMA