Eksport industri koko telah berjaya mencecah RM5.55 bilion pada 2018.

Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Dr. Tan Yew Chong berkata, peningkatan jumlah sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus pada 2018 berbanding 2017 dilihat sebagai petanda positif ke arah merealisasikan matlamat tersebut.

Katanya, koko merupakan komoditi berpotensi besar untuk dibangunkan menerusi pelaksanaan model perniagaan yang tepat, aktiviti pengkomersialan yang baik dan memperbanyakkan aktiviti hiliran.

“Sektor koko secara khususnya telah menyumbang RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2018 dan menyumbang sebanyak RM1.44 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar Program Pengkomersialan Hasil Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia ‘Innovation to Market’ (I2M) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Yew Chong berkata, berdasarkan prestasi industri koko yang amat memberangsangkan, ia kini dilihat sebagai komoditi berpotensi besar untuk dibangunkan terutamanya untuk pasaran eksport.

Bagaimanapun katanya, sektor itu masih memerlukan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan bagi mempersiapkannya untuk persaingan di peringkat global.

“Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada pasaran tempatan sahaja tetapi berusaha untuk ke pasaran global. Pelbagai pendekatan boleh digunakan termasuk menggunakan konsep pemasaran digital.

“Nilai eksport coklat pada lima tahun dahulu berjumlah RM500 juta dan ia telah meningkat sehingga RM1 bilion pada tahun lalu. Oleh itu, selain penanaman komoditi sawit kita mungkin boleh kembali kepada penanaman koko yang turut menyumbang kepada sumber pendapatan yang baik,” katanya. - BERNAMA