Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, eksport segmen fesyen meliputi tekstil, pakaian dan kasut pada 2017 merekodkan sebanyak 10.4 peratus.

Katanya, bagi tempoh sembilan bulan 2018, eksport bagi produk fesyen bernilai RM11.21 bilion.

WAN LATIFF WAN MUSA
WAN LATIFF WAN MUSA 

“Pertumbuhan eksport ketika ini perlahan berikutan persekitaran ekonomi global yang menerima impak daripada perang dagangan AS-China.

“Oleh itu, pemain industri di Malaysia perlu berubah daripada pengeluar peralatan tulen (OEM) kepada pengeluar rekaan tulen (ODM) dan pengeluar jenama tulen (OBM) untuk kekal relevan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Matrade bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Pusat Tekstil dan Pakaian Malaysia (Matac) dan Persatuan Pengilang Kasut Malaysia (MFMA) menganjurkan seminar daripada OEM kepada ODM dan OBM.

Seminar itu bertujuan menggalakkan pengeluar tempatan menjadi kompetitif di peringkat global dan mengukuhkan status Malaysia sebagai hab reka bentuk dunia.

Wan Latiff berkata, Matrade menawarkan Geran Pembangunan Pasaran khusus buat syarikat yang telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menghasilkan produk.

“Sekiranya syarikat ini menyertai pameran dagangan di luar negara, mereka boleh membuat tuntutan sehingga RM15,000.

“Bagi mereka yang menyertai program di bawah Matrade iaitu Misi Pecutan Eksport, tuntutan sehingga RM10,000 boleh dilakukan,” katanya.