Timbalan Menterinya, Dr. Ong Kian Ming berkata, pertumbuhan eksport dijangka dipacu oleh peningkatan permintaan global dan eksport tinggi kereta buatan tempatan termasuk Proton.

“Pelan pemulihan Proton dan pengembangannya ke lebih banyak pasaran Asia boleh menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport,” katanya pada majlis pertukaran perjanjian kerjasama antara vendor Proton dan rakan kongsi luar negara di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

Tambah Kian Ming, nilai eks­port bahagian dan komponen melebihi RM12 bilion daripada RM11.6 bilion pada 2017.

Mengenai kerjasama antara vendor Proton dan rakan kongsi asing, Kian Ming berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan vendor Proton sejajar dengan kemajuan teknologi kereta Proton.

Menurutnya, kerjasama tersebut melibatkan lima vendor tempatan dan lima vendor asing dengan pelaburan awal berjumlah RM47 juta.

“Kerjasama itu dijangka mewujudkan kira-kira 450 peluang pekerjaan dalam industri automotif daripada pemasangan hinggalah kepada kejuruteraan reka bentuk yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Sementara itu, Chunrong berkata, program pembangunan vendor Proton mencatatkan kemajuan dan syarikat itu be­kerja keras menjalankan aktiviti padanan bagi mencari pakatan terbaik yang akan memberi manfaat kepada semua vendor, ekonomi tempatan serta Proton. – BERNAMA