Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata, pembelian tersebut akan dibiayai oleh dana dalaman.

“Cadangan pembelian ini dilaksanakan untuk mentransformasikan Ekovest menjadi firma konglomerat tersenarai lebih besar dengan portfolio perniagaan pelbagai yang lebih luas.

“Ini akan membolehkan Ekovest dan anak-anak syarikat meneroka pengurusan serta operasi perladangan hutan dan perladangan kelapa sawit, yang seiring strategi jangka panjang syarikat bagi kepelbagaian dan perluasan ke dalam perniagaan lain untuk mengurangkan pergantungan dengan perniagaan pembinaan, pembangunan hartanah dan operasi tol sedia ada,” menurut Ekovest.

Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, cadangan pembelian itu diunjurkan selesai pada suku pertama 2019. - BERNAMA