Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, antara keperluan dalam ekosistem yang perlu dibina untuk melengkapkan teknologi kereta elektrik adalah mempunyai stesen pengecas yang mencukupi di seluruh negara.

“Sekiranya kita mempunyai kenderaan elektrik tetapi kita tidak mempunyai stesen pengecas yang mencukupi, ia akan menggagalkan usaha itu. Anda mesti memilikinya di seluruh Malaysia, barulah kereta elektrik boleh diperkenalkan,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIAC) 2018 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, persidangan KLIAC selama dua hari itu adalah persidangan kelima yang dianjurkan MAA sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, dengan matlamat untuk menyatukan peserta industri dan perniagaan ke hadapan.

“Jumlah volum industri (TIV) Malaysia pada Oktober 2018 ialah 502,244 buah, enam peratus lebih daripada 472,719 buah yang dijual pada sembilan bulan pertama tahun lalu. Bagi TIV 2018, MAA meramalkan 585,000 buah yang merupakan peningkatan sederhana 1.5 peratus berbanding angka tahun lepas.

“Kami menjangkakan TIV akan pulih pada November dan Disember, disokong oleh promosi akhir tahun. KLIMS 2018 yang terbuka kepada orang ramai pada Jumaat dijangka merangsang sentimen belian,” tambahnya.

Mengenai semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP), Aishah berkata, MAA berharap kerajaan, sambil memberi tumpuan kepada teknologi masa depan, akan meneruskan teknologi kenderaan cekap tenaga (EEV) yang ditekankan dalam NAP 2014 dari segi insentif dan lain-lain, kerana ia telah membantu industri.

“Melangkah ke hadapan, apa yang ingin kita lihat (dalam NAP yang disemak semula), adalah polisi ini adalah jangka panjang, untuk memudahkan pelabur membuat pelaburan jangka panjang dalam industri automotif kita serta mempunyai lebih banyak perundingan dengan industri,” katanya.

Mengenai sejauh mana NAP 2014 telah memberi manfaat kepada industri tersebut, Aishah berkata, pada masa ini terdapat banyak kereta hibrid di jalan raya kerana pengeluar kereta menerima insentif apabila mereka menghasilkan hibrid di bawah dasar ini.

“Sebelum ini, ia (fokus) hanya pada kenderaan konvensional dan kami merasakan bahawa ini (dorongan teknologi baharu) adalah cara ke hadapan. Kerajaan membimbing industri ini kerana ia merupakan pelaburan besar yang perlu dibuat oleh pengeluar kereta dan di sini kita memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya. – BERNAMA