Menurut CGS-CIMB Research, tender bagi projek itu bakal diumumkan pada akhir suku ketiga dengan kontrak awal akan dianugerahkan pada suku berikutnya.

Katanya, kerja-kerja awam biasanya membentuk 50 hingga 60 peratus daripada jumlah kos projek dan firma penyelidikan itu menganggarkan jumlah nilai kerja-kerja awam untuk ECRL akan bernilai antara RM22 bilion sehingga RM26 bilion.

Menggunakan pelbagai nilai untuk menganggarkan 40 peratus dikhaskan untuk kontraktor tempatan, firma penyelidikan itu mengunjurkan nilai tender di antara RM8.8 bilion sehingga RM11 bilion.

“Kerja-kerja awam adalah pekerjaan yang tidak terma­suk kerja sistem, pengambilan tanah, rolling stock dan isyarat atau elektrik antara lain.

“Baki RM13 bilion hingga RM16 bilion kerja-kerja awam akan dijalankan secara langsung oleh kontraktor projek siap guna, China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC),” katanya di sini.

Skop kerja CCCC termasuk pembinaan terowong meliputi terowong tujuh kilometer (km) berhampiran Jelebu yang akan menggantikan terowong Gen­ting 18km yang dirancang pada awalnya.

Ujar CGS-CIMB Research, kerja awam keseluruhan dibahagikan kepada tiga bahagian yang disemak semula, dua daripadanya memerlukan penjajaran semula dan kelulusan bagi skim kereta api baharu pada suku pertama 2020, manakala satu bahagian boleh memulakan pelaksanaan serta-merta dalam separuh kedua 2019.

Pada separuh kedua tahun ini, CGS-CIMB Research menjangkakan kontraktor tempatan untuk memberi tumpuan kepada tender bahagian B (223km, Dungun-Mentakab) projek mega dihidupkan semula.

“Walaupun pusingan tender mungkin agak kompetitif, kami percaya pemain rel dengan rekod prestasi baik terpilih akan muncul sebagai pesaing yang berpotensi,” katanya.

ECRL dijadual dilancarkan semula pada 25 Julai berikutan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link (MRL) dan CCCC pada April tahun ini.