“Dokumen nasihat pemindahan dana itu yang disebarkan dalam talian tidak dikeluarkan oleh bank dan nombor akaun Maybank yang dinyatakan pada dokumen itu adalah tidak sah.

“Oleh kerana dokumen yang mengandungi nama Maybank itu kelihatan seperti dokumen yang telah dipalsukan, Maybank akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi kepentingannya,” kata jurucakap Maybank kepada Bernama di sini hari ini.

Salinan dokumen itu tular di laman sosial yang mendakwa sejumlah wang milik UEM Group Bhd. telah dipindahkan ke akaun menteri terbabit menerusi akaun Maybank.

Semalam, UEM Group Bhd. turut menafikan dakwaan bahawa ia terlibat dalam pemindahan wang itu.

“UEM Group Bhd. ingin menyatakan bahawa ia tidak memiliki akaun bank di cawangan utama Maybank KL dan tidak memiliki akaun dengan nombor akaun seperti didakwa oleh pelbagai laman media sosial,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Untuk membersihkan namanya, UEM Group telah membuat laporan polis dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa. - BERNAMA