Ini kerana berdasarkan laporan Bloomberg semalam, indeks FBM KLCI susut lebih satu peratus tahun ini manakala negara jiran Singapura, melonjak lima peratus dan Indonesia pula menokok tiga peratus menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya pasaran yang mencatat penurunan di rantau Asia.

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana kemampuan PH dalam menerajui kepemimpinan negara terutama untuk memulihkan kembali keyakinan pelabur.

Katanya, hanya dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja segala usaha pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan akan membuahkan hasil memandangkan ketika ini manifesto PH juga masih dikaji termasuklah menghapuskan tol dan harga minyak.

“Apa yang berlaku kepada pasaran saham tempatan adalah sesuatu yang tidak perlu kita bimbangkan kerana Bursa Malaysia adalah kukuh dan indeks FBM KLCI pula stabil.

“Tetapi, kita menerima kesan luaran yang hebat terutama dengan pertumbuhan ekonomi China yang perlahan, krisis di Turki dan dalam masa sama, di peringkat domestik pula, pelabur masih mengambil sikap tunggu dan lihat kerana keyakinan belum pulih lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan Bloomberg itu, penganalisis berpendapat, trend berkenaan tidak akan berubah memandangkan pelabur-pelabur menunggu inisiatif kerajaan untuk mengurangkan bajet defisit, menangani rasuah dan meningkatkan kuasa beli.

Malah, penganalisis masih tidak dapat membuat jangkaan yang tepat, dengan mengunjurkan ekonomi Malaysia tumbuh 4.5 peratus pada 2019 walaupun kerajaan menyasarkan ia berkembang 4.9 peratus tahun ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen dalam kalangan para peniaga berdasarkan bancian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Rating Agency Malaysia (RAM), Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) semuanya menunjukkan keyakinan yang lemah.

EKONOMI TIDAK MENENTU

Di samping itu katanya, tinjauan ekonomi pada tahun ini juga agak tidak menentu berikutan situasi berkaitan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta Brexit di United Kingdom yang masih lagi membelenggu sentimen pasaran.

“Sehubungan itu, amat pen­ting dasar ekonomi yang jelas perlu diperkenalkan oleh kerajaan di samping komunikasi yang jitu dan konsisten kepada rakyat dan pelabur. Perkara ini yang membezakan antara pasaran di Malaysia dengan pasaran serantau,” katanya.

Pengarah Eksekutif dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad, Ismitz Matthew De Alwis berkata, sekalipun PH tidak memenangi pilihan raya lalu, pasaran saham tempatan tetap dipengaruhi oleh persekitaran luaran dan terlalu banyak khabar angin yang merisaukan pasaran.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan penurunan ini tidak berterusan kerana pasaran ditekan faktor luar dan pendapatan korporat di bawah jangkaan. Dalam tempoh sederhana, pasaran kita adalah kukuh dan di­jangka pulih,” katanya.

Menurut firma penyelidikan MIDF Research, ekonomi Malaysia dijangka merosot 0.11 peratus disebabkan pertumbuhan ekonomi China yang perlahan, menyusut satu peratus memandangkan China adalah pasaran kedua terbesar bagi negara.