MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, dana asing terus menunjukkan minat terhadap saham-saham di Bursa Malaysia untuk minggu kedua meskipun pada minggu perayaan.

Katanya, aliran masuk mingguan ke dalam negara adalah selari dengan enam pasaran Asia utama lain yang dipantau ke­cuali Korea Selatan dan Filipina.

“Bursa memulakan minggu tersebut dengan positif apabila pelabur antarabangsa memperoleh RM231.5 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin menandakan hari kedua aliran masuk bersih asing melebihi RM200 juta.

“Momentum kukuh pembeli­an asing bersih telah menaikkan FBM KLCI sebanyak 0.2 peratus untuk ditutup 1,655 mata pada Isnin iaitu penutupan tertinggi sejak 22 Mac lalu,” katanya di sini hari ini.

Tambah firma penyelidikan itu, kebanyakan pelabur optimis pada Isnin disebabkan oleh musim pembentangan keputusan korporat yang menyaksikan ba­nyak syarikat mencatatkan keputusan luar jangka yang positif.

“Dana asing masih membuat pembelian pada Selasa berjumlah RM96.8 juta iaitu sehari sebelum cuti dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri. Dana asing masih memperoleh ekuiti tempatan pada kadar lebih perlahan seba­nyak RM21.8 juta selepas bursa dibuka semula pada Jumaat.

“Aliran masuk bersih asing sebanyak RM350 juta pada minggu lalu telah mengurangkan jumlah aliran keluar asing bersih dari Malaysia daripada RM4.80 bilion kepada RM4.45 bilion,” katanya.

MIDF berkata, kejatuhan penyertaan pelabur untuk pasaran runcit, pelabur asing dan dana institusi tempatan pada minggu lalu tidak dapat dielakkan.

“Bagaimanapun, nilai daga­ngan purata harian (ADTV) untuk pelabur asing kekal sihat di atas RM1 bilion di sebalik penurunan mingguan sebanyak 54 peratus dalam ADTV,” jelasnya.