“Pada masa depan, kami mempunyai beberapa projek menarik dan kami amat berhati-hati apabila melibatkan projek hartanah di bawah pasaran yang mencabar (hartanah), namun akan terus mendapatkan lebih banyak projek IFM.

“Kami juga mempunyai 207 hektar tanah di Kuantan, Pahang yang dicadangkan untuk aktiviti perlombongan bauksit,” katanya kepada pemberita mengenai maklumat terkini perniagaan dan korporat syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata, aktiviti perlombongan bauksit akan bermula sama ada pada akhir tahun atau awal tahun depan sebaik sahaja syarikat itu menerima kelulusan dan lesen berkaitan.

Menurutnya, tanah berkenaan mempunyai kira-kira lima juta tan metrik galian bernilai kira-kira RM300 juta dan RM400 juta dan syarikat itu menyasar sumbangan purata tahunan sebanyak RM60 juta hingga RM100 juta.

“Tempoh perlombongan ialah tiga hingga lima tahun sehingga galian bauksit itu dikeluarkan. Kami melaksanakan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) ketika ini sementara menunggu prosedur operasi standard (SOP) dan sebaik SOP itu siap, sekiranya terdapat sebarang elemen EIA yang perlu kita masukkan, kita akan masukkan.

“Kami juga membuat satu lagi laporan geologi ketika ini untuk memastikan mineral yang kita ada kekal sama. Kami sangat mengambil berat isu pencemaran kerana apabila selesai mengeluarkan galian bauksit ini, kami perlu membangunkan tanah itu. Jadi, tiada guna untuk kami melakukan pencemaran kerana pada akhirnya, nilai tanah akan merosot,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan melancarkan pembangunan komersial yang dikenali sebagai Aliff Square 3 di Tampoi di kawasan utama berhampiran pusat bandar Johor Bahru.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM187 juta, projek 2.8 hektar itu mula menerima maklum balas positif.

Satu lagi projek ialah pembangunan bercampur (komersial dan perumahan) di tanah seluas 20.23 hektar di Negeri Sembilan dengan GDV RM771 juta.

Bagi separuh pertama 2019, keuntungan bersih Damansara Realty berkembang kepada RM6.2 juta daripada RM1.4 juta yang direkodkan untuk tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA