Menurut firma itu, ini kerana ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berpanjangan akan terus melembapkan petunjuk ekonomi global selain berupaya memberi kesan terhadap ­eksport Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, perdagangan luar Malaysia secara keseluruhannya masih kekal positif dipacu oleh sektor pembuatan dan pemulihan harga komoditi.

“Cuma kadar pertumbuhan perdagangan akan menjadi perlahan,” katanya dalam nota kajian di sini baru-baru ini.

Eksport Malaysia pada Julai 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus kepada RM88 bilion tahun ke tahun.

Ahli Ekonomi Kanan ­United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia), Julia Goh berkata, bagaimanapun kesan keseluruhan impak kemerosotan hubungan AS-China kekal negatif dan terbukti menerusi permintaan import lemah serta Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan pada Ogos yang jatuh bagi bulan keempat ­dengan kekurangan tempahan baharu.

Jelasnya, pihaknya menge­kal­kan unjuran pertumbuhan eksport tahun penuh 2019 pada satu hingga 1.5 peratus memandangkan risiko pertumbuhan perlahan dan kesan asas tinggi daripada setahun lalu bagi eksport Malaysia.

“Pertumbuhan eksport Julai sebahagian besarnya mendapat rangsangan daripada penghantaran tinggi barangan pembuatan, terutama produk elektrik dan elektronik, petroleum, jentera dan peralatan serta bahan kimia dan produk kimia,” katanya.

Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka terus menurun kepada 1.5 peratus pada 2020 daripada 2.2 peratus yang diunjurkan untuk tahun ini.

RHB Research dalam nota kajiannya berkata, krisis perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia yang semakin memuncak telah menimbulkan risiko kelembapan lebih besar bagi pertumbuhan global, sekali gus memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan perdagangan luar Malaysia.

“Kami menganggarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan sederhana kepada 4.3 ­peratus pada 2020 daripada jangkaan 4.5 peratus pada 2019,” ujarnya.