Pengurus Besar Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Mike Orgill berkata, terdapat beberapa isu mengelirukan pada masa ini termasuk pendaftaran dan kutipan cukai.

“Semua hartanah kami perlu didaftar, namun terdapat persoalan mengenai prosesnya,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan terkini perniagaan syarikat itu di Malaysia di sini hari ini.

Di bawah struktur semasa, kesemua jenis perkhidmatan di negara ini perlu mengutip cukai pelancongan RM10 untuk satu malam bagi pelancong asing.

Tegas beliau, struktur cukai yang adil adalah perlu untuk memastikan persaingan setara bagi semua peserta industri.

Katanya, beliau mengakui wujud isu pengutipan mengenai sama ada Airbnb perlu mengutip cukai bagi pihak kerajaan atau kerajaan harus mengutip cukai secara terus daripada pemilik hartanah yang disenaraikan di Airbnb.

“Ketika ini sebahagian pemilik hartanah mengutip sendiri cukai sebelum diberikan kepada pihak berkuasa,” jelasnya.

Sementara itu, ­Orgill berkata, Airbnb menjana kira-kira RM3 ­bilion dalam anggaran jumlah impak langsung ekonomi di Malaysia pada tahun lepas.

Menurutnya, Airbnb telah me­nerima lebih daripada 3.25 juta tetamu di Malaysia bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 1 Julai 2019 peningkatan sebanyak 73 pe­ratus dari tahun ke tahun.

“Terdapat lebih 53,000 senarai kediaman Airbnb di Malaysia dan negara ini terus menjadi pasaran paling pesat berkembang untuk Airbnb di Asia Tenggara buat tahun kedua berturut-turut,” katanya.