Sebagai contoh, Mini Cooper S Countryman Pure terbaharu ini bukannya kecil, tetapi kelihatan gedabak. Ia sebenarnya sebuah SAV iaitu Kenderaan Aktiviti Sukan. Sebab itu nampak seperti kenderaan pacuan empat roda.

Fizikalnya kelihatan sebagai kenderaan lasak dengan jaluran bonet yang ikonik serta bumbung hitam yang elegan. Lampu hadapan kelihatan besar jenis LED yang dilengkapi lampu indikator.

Rim pula bersaiz 18 inci Black Pin yang menjadikan jentera ini kelihatan agak tinggi. Kerusi jenis balutan kulit dengan upholsteri hitam (Carbon Black) serta penggayaan material kulit (Leather Cross Punch). Kerusi boleh di laras secara elektrik untuk keselesaan maksimum yang bertaraf tinggi.

Trim dalaman pula eksklusif berwarna kelabu menzahirkan nuansa kemodenan yang melengkapi material bumbung berwarna kuning air. Jentera terbaharu ini juga didatangkan dengan Paparan Sesentuh 6.5 inci bersama navigasi yang mengutamakan pengalaman kepenggunaan dengan antara muka yang mudah untuk dioperasikan.

Mengujinya di jalan raya juga adalah satu keseronokan. Enjin petrol 4 silinder TwinPower Turbo mampu menjana kelajuan tertinggi mencecah 224 kilometer sejam (km/j). Senang kata setakat jadi juara di lebuh raya boleh dilakukan dengan mudah.

Bagaimanapun, ada sedikit pelik pada jentera ini. Pada pemanduan laju sehingga 160 km/j di lebuh raya akan menghasilkan bunyi bersiul. Penulis suspek bunyi angin pada bingkai besi di bumbung.

Kuasa maksimum 192 hp dan kilas maksimum 280 Nm menghasilkan pecutan 0-100km/j pada 7.4 saat. Ia masih dikira agak pantas dengan kombinasi transmisi automatik 8 kelajuan. Cuma tak menarik sebab tiada pedal shift di stereng.

Selain itu paparan meter di papan pemuka agak kecil dan menyebabkan mata terpaksa memberi fokus yang lebih untuk membaca had laju ketika pemanduan. Jentera turbo takkan mahu dipandu perlahan.

Penggunaan minyak juga agak sederhana iaitu secara purata pada kadar 6.5 liter bagi setiap 100 km.

Harga jualan Mini Coo­per S Countryman Pure ialah RM228,888 tanpa insurans.