Pengurus Besar kilang pengeluaran tayar Continental di Alor Setar, Carlos Bernabe menandatangani plak perasmian pusat latihan pertama Continental di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Pengurus Besar kilang pengeluaran tayar Continental di Alor Setar, Carlos Bernabe berkata, kilang itu menghasilkan tayar kenderaan penumpang, trak ringan serta motosikal untuk Continental di Malaysia dan pasaran Asia Pasifik.

Menurutnya, kilang tersebut telah beroperasi sejak 1979 dan memiliki lebih daripada 1,000 pekerja.

“Projek ini merupakan usaha berterusan Continental dalam memperkasakan para pekerjanya selain menyesuaikan keperluan kontemporari untuk pembangunan mapan. Matlamatnya adalah untuk membentuk tenaga kerja cemerlang, terbaik dalam kelasnya dan produk berkualiti tinggi.

“Ini secara tidak langsung akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, memberi inspirasi dan memupuk sikap positif terhadap keselamatan, kualiti dan kecekapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Bernabe, pusat itu menawarkan latihan berkomputer dan manual dalam kemahiran vokasional selain pendidikan yang direka khas.

“Proses latihan merupakan kunci kejayaan untuk membiasakan pekerja dengan operasi dan evolusi pengeluaran di samping melengkapkan mereka dengan kompetensi yang diperlukan untuk merapatkan jurang prestasi organisasi.

“Pelaburan ini akan memastikan kejayaan jangka panjang untuk kilang tayar di sini. Hanya dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi perkilangan termaju membolehkan kami mengekalkan daya saing dalam pengeluaran global selain menyampaikan kualiti dan prestasi terbaik tayar ‘Buatan Alor Setar’,” ujarnya.

HABIS...