Indeks tersebut berlegar antara 1,588.98 mata hingga 1,617.22 mata sebelum ditutup petang ini pada 1,611.79 mata setelah meningkat 1.38 mata. Ia me­nyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 502 berbanding 436 dan 376 kaunter tidak berubah.

Apa yang melanda pasaran tempatan dan serantau disebabkan tindakan susulan China yang membenarkan nilai mata wang yang dikawal ketat, jatuh ke paras 11 tahun terendah pada Isnin, melepasi paras tujuh yuan bagi setiap unit dolar AS.

Nilai kejatuhan mata wang China telah merosot melalui ekonomi global, yang menyebabkan kerugian ketara di Wall Street dan pelabur.

Trump kemudiannya mengkritik China susulan penurunan itu, menuduh Beijing sebagai ‘memanipulasi mata wang’. Menurut laporan The Washington Post semalam, kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan memetik Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin berkata, hari ini menentukan bahawa China adalah manipulator mata wang.

Beberapa penganalisis melihat krisis AS dan China telah mengheret perang dagangan antara kedua-duanya ke dalam kancah perang mata wang yang turut memberi implikasi buruk kepada pasaran mata wang tempatan.

“Ini perang Trump, bukan perang dagangan,” menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Mottain kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, apabila pasaran memasuki perang mata wang, ia akan menyaksikan ringgit akan semakin lemah dan akan melepasi RM4.20 dalam tempoh terdekat.

“Kita sudah pun berada dalam situasi ini (perang mata wang) sejak beberapa hari lalu. Keadaan ini sangat teruk. Cuma sama ada ringgit akan terus menyusut kepada RM4.30 berban­ding dolar AS bergantung kepada sejauh mana ketegangan antara kedua-dua negara ini,” katanya.

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.1880 berbanding dolar AS. Pada 9.02 pagi, ringgit berada di paras RM4.1870 daripada RM4.1770 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, yuan adalah antara mata wang yang boleh dikatakan trend setter dan setiap tindakan People’s Bank of China (PBOC) akan memberi kesan langsung kepada mata wang Asia dan juga ringgit.

“Ini menyebabkan mata wang ringgit melemah pada minggu ini. Bank pusat China juga sebelum ini pernah merendahkan nilai yuan pada pertengahan 2015 yang direndahkan daripada 6.2097 bagi setiap dolar AS kepada 6.325 pada 11 Ogos 2015. Ia juga dilihat mengekalkan atau menambat mata wangnya antara 2008 sehingga 2010,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan memandangkan pertumbuhan eksport juga lemah manakala ringgit terus menyusut berbanding dolar AS.

“Tetapi mengenai sama ada kita menuju perang mata wang, pendapat saya, ya! Ini akan berlaku sepenuhnya apabila ia menjadi jelas kepada semua bahawa perjanjian dagangan antara AS dan China adalah mustahil untuk dicapai.

“Apatah lagi ringgit hampir ditambat kepada mata wang China pada masa ini, jadi ia akan semakin lemah berbanding dolar AS,” katanya.

Pada Jun, eksport Malaysia menguncup 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu manakala eksport ke China susut 12 peratus kepada RM10.07 bilion susulan pengura­ngan eksport produk petroleum, elektronik dan elektrikal (E&E), bijih keluli dan pembuatan logam.