Terlebih dahulu, mungkin timbul persoalan apa itu crossover? Di lihat dari segi rupanya, Renault Captur ini seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV). Tetapi kenapa digelar crossover?

Apakah bezanya sebuah SUV dan crossover? Baiklah, pene­rangannya begini, crossover ialah sebuah kenderaan yang dibina untuk pengendalian, kualiti dan pemanduan seperti sebuah kereta.

Ia bermaksud, crossover adalah seperti sebuah kereta yang diangkat menjadi SUV tetapi tidak boleh berfungsi sebagai sebuah SUV. Dengan kata lain, SUV sebenarnya dibina untuk tugas yang melebihi daripada fungsi sebuah kereta.

Maknanya, SUV dihasilkan untuk tugas yang lebih lasak dengan keupayaan mengangkut beban yang lebih berat mengharungi kawasan yang lebih mencabar.

Jadi, adakah anda sudah faham perbezaan di antara jentera crossover dan SUV?

Renault Captur merupakan sebuah crossover paling laris di Eropah telah diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 2015 dan sejak itu sentiasa mengalami evolusi dari segi dalaman serta luarannya.

Stail yang menggoda

Renault Captur yang diuji kali ini menampilkan gaya yang elegan dengan dua tona warna. Biasanya warna bumbung dan skirt adalah sama manakala warna badannya pula berbeza. Jentera yang dipandu uji kali ini bewarna biru manakala skirt dan bumbungnya bewarna hitam. Tampak menarik.

Lampu utamanya agak nipis disepadukan dengan jeriji hitam yang besar ditengah-tegahnya untuk menempatkan logo Renault.

Lampu nyalaan siang (DRL) tidak pada lampu utama tetapi diletakkan pada bampar berbentuk huruf C. Lampu kabus pula pada bahagian tengah lampu DRL. Lampu belakang pula agak kompak dengan signature seperti tulang ikan.

Jentera ini diberi sentuhan rim aloy 17 inci dengan dua tona warna iaitu krom dan hitam. Memang Captur ini menggabungkan dua tona warna untuk menjadikan ia menarik.

Tidak banyak garis tubuh yang menonjol pada sisinya. Dengan kata lain, elemen solekan adalah sederhana tanpa solekan yang materialistik.

Kesederhanaan dalaman

Pada ruang dalamannya, ia agak ringkas tetapi tidak menjemukan. Papan pemukanya agak ringkas tanpa sebarang butang bantuan pemanduan yang terlalu banyak. Terasa seperti kosong pula.

Kerusi pula jenis balutan kulit yang mengikut garis kontur tubuh. Sisi pintu juga terdapat balutan kulit untuk menampilkan suasana premium.

Renault Captur ini didatangkan bersama skrin infotainment baharu tujuh inci dengan navigasi dan sambungan internet. Ia boleh menyokong muzik dan aplikasi mobile seperti Joox, waze dan lain-lain. Amat menye­nangkan pemanduan.

Satu perkara yang menarik dalam Captur ini ialah spedome­ter yang bergaya. Ia diapit oleh dua meter analog bulat dengan di tengahnya ialah bulatan lonjong yang panjang menempatkan paparan digital kelajuan. Di atasnya ialah komputer pelbagai maklumat pemanduan.

Ujian di jalan raya

Kali ini penulis berpeluang pulang ke kampung di Pahang dengan menguji Renault Captur. Penulis menggunakan laluan lebuh raya Kuala Lumpur-Karak dan keluar ke Bentong hingga ke Raub, Pahang menggunakan jalan biasa.

Captur ini dilengkapi dengan enjin 1.2 liter pengecas Turbo dengan kuasa maksimum 120ps @ 5,000 rpm dan kuasa kilas 205Nm @ 2,000 rpm. Enjin sekecil ini sebenarnya mampu menawarkan pecutan dan prestasi seperti enjin 1.8 liter aspirasi biasa. Satu faktor wow! untuk jentera ini.

Transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan menjadikan ia sebuah crossover yang sempurna. Dengan saiz rangka yang tidak sebesar Honda HRV (yang juga sebuah crossover) menjadikan ia lincah di jalan raya dan di lebuh raya.

Dengan menekan pedal mi­nyak dan bantuan penukaran transmisi yang lancar tanpa rasa sentapan gear membolehkan penulis memecut sehingga 130 kilometer sejam (km/j) tanpa rasa bimbang.

Walaupun ketinggiannya seperti sebuah SUV, tidak terasa olengan yang melampau. Tayar 17 inci membantu mencengkam ketika membelok pada kelajuan yang tinggi. Penglibatan Renault dalam Formula 1 telah membantu Captur ini untuk bersaing dengan model-model crossover yang lain.

Walaupun ia lincah, namun ada hadnya. Ketika cuba memecut sehingga 150 km/j, terasa sedikit ringan dan rintangan aerodinamik mencetuskan rasa seperti berombak. Namun, siapakah yang mahu memecut membuta tuli dengan jentera kecil ini?

Sebagai sebuah crossover, ia amat bersesuaian untuk pemanduan di bandar. Penggunaan minyak 5.9 liter/100 km (NEDC test method) memang amat bersesuaian untuk mereka yang mahukan sebuah jentera yang macam SUV tetapi comel seperti sebuah kereta.

Enjin: TCe 120 (1.2 liter) turbo

Kuasa maksimum: 120ps

Kilas maksimum: 205Nm

Transmisi: Efficient Dual Clutch (EDC) 6 kelajuan

Penggunaan minyak: 5.9 liter/100 km

Harga: RM107,980.00 (tidak termasuk insurans)