Tetapi ia hanyalah kisah Toyota Camry 2019 yang baharu dilancarkan di Malaysia pada tahun ini. Kenapa penulis gunakan nama tiga line? Ini kerana si Camry ini menggunakan tiga jalur lampu nyalaan siang (DRL) yang keluar daripada kebiasaan DRL kereta lain.

Toyota Camry generasi kelapan ini sangat berbeza daripada model yang terdahulu. Penulis boleh sifatkan sedan ini sebagai satu transformasi yang abnormal untuk keluar daripada fesyen orang tua.

Proses peremajaan

Setelah Camry disifatkan sebagai kereta ‘pakcik-pakcik’ kali ini Camry dihasilkan dengan fizikal yang menawan. Menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang lebih ringan, berprestasi tinggi dan selaras yang tidak berkaitan dengan casis semata-mata tetapi membabitkan unit kuasanya.

Rekaan bertemakan Dinamik dan Sporty, Camry baharu mendapat suntikan yang penuh segar dan tersendiri untuk menarik perhatian generasi muda. Fizikalnya yang rendah dan le­bar menggambarkan imej sofistikated dan premium.

Jeriji atas yang menipis diapit oleh lampu depan BI-LED yang tipis bagi pencahayaan yang cerah dan imej ilumniasi yang kuat. Lampu nyalaan siang disusun tiga jalur bagi menghasilkan visual identiti yang jelas untuk menggambarkan kehadirannya di jalan raya.

Jeriji bawah yang besar de­ngan jalur melintang mewujudkan karektor garang dan diselitkan dengan lampu kabus bersegi yang kecil. Kadangkala melihat jeriji bawah itu seperti topeng muka Kylo Ren dalam filem Star Wars.

Reka bentuk yang panjang dan rendah dengan garisan badan yang mantap dihasilkan oleh Ketua Rekabentuk Toyota Camry, Akira Kubota dengan memastikan permukaan jentera itu mampu mengurangkan rintangan angin dan gegaran bagi mengoptimumkan kesan bunyi serta meningkatkan kestabilan ketika memecut.

Lampu belakang pula menipis mengikut kesesuaian rupa hadapannya. Dua paip ekzos memastikan Camry ini adalah sebuah jentera yang serius. Kombinasi rim aloi 18 inci memastikan jentera ini gagah dalam mengatasi pesaingnya di jalan raya.

Huruf Y untuk papan pemuka

Oleh kerana suntikan kere­majaan diberikan untuk Camry generasi kelapan ini, ruang dalamannya turut diberi karektor orang muda. Paling hebat ialah olahan papan pemuka yang berteraskan huruf Y.

Berteraskan Keyakinan Kepintaran Sensual, ia menggabungkan elemen sports dan ruang yang termaju dalam kelasnya. Ia direka tiga lapisan dengan konsol tengah menurun ke sisi tempat duduk. Papan pemuka Camry ini menjadikan butang kawalan dan sistem lebih mudah digunakan dengan ruang moden bersama hiasan jalur satin perak.

Kokpit dihasilkan secara berpusat dengan garis ergonomik untuk keselesaan dan dinamik. Panel meter adalah jenis Optitron yang digunakan untuk model Lexus. Terdapat ruang Head-Up Display berwarna pada pemandu yang memaparkan kelajuan pada cermin hadapan.

Secara keseluruhannya, papan pemukanya memang mengancam bro! Penuh elemen kese­garan dan bersesuaian dengan semangat keremajaan. Ada satu lagi, perakam kamera video yang diletakkan di cermin adalah ciri standard. Jadi, tidak perlu bimbang dengan pembuli jalanan lagi.

Pemanduan

Camry tiga line ini dikuasakan enjin petrol 2.5 liter empat silinder DOHC 16 injap Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa maksimum 184 PS @ 6,000 rpm dan kilas maksimum 235 Nm @ 4,100 rpm.

Masuk ke dalamnya, terasa enjin yang lebih senyap. Sistem hiburan 9 speaker sistem audio JBL memang rock habis. Terdengar petikan gitar yang lebih halus dan nyata. Stereng yang boleh dilaraskan secara elektronik dan kerusi kulit premium menyenangkan pemanduan.

Oleh kerana ia sebuah sedan yang besar, tentulah penulis skeptikal dengan kuasanya. Ternyata tepat sekali. Dalam sesi pemanduan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, Camry baharu ini nyaris dimalukan oleh Honda City.

Penulis terpaksa menggunakan mod sport pada transmisi enam kelajuan Super ECT with torque Converter. Terasa mengaum juga enjin bila pedal ditekan secara drastik. Namun sempat juga mencecah sehingga 200 kilometer sejam (km/j). Agak malang kerana jentera ini tidak disertakan dengan pedal shift pada stereng.

Adakah ia beroleng? Tipulah kalau sebuah sedan tidak langsung beroleng ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Cuma untuk Camry ini kesan olengannya agak minimum. Sistem suspensi yang dipertingkatkan bersama titik graviti yang lebih rendah dengan platform TNGA mengurangkan kesan olengan yang nyata.

Camry generasi kelapan ini penulis sifatkan sebagai kesempurnaan yang nyata tetapi agak terkilan kerana kuasanya tidak berbaloi dengan fizikalnya. Pada harga RM196,888 sebuah, kuasa maksimum itu tidak cukup menggigit apatah lagi untuk mengatasi pesaingnya daripada jenama H.

Jadi, Apa kaitannya penulis menggelarkan Camry tiga line? Jawapannya ialah jika Camry dibandingkan dengan segmen D untuk jenama H, nyata ia boleh dilabelkan sebagai abang long di Malaysia setakat hari ini.