Menurut JF Apex Research, kejatuhan pasaran saham global adalah susulan pengumuman tarif baharu ke atas produk Amerika Syarikat (AS) oleh China dan ia meningkatkan lagi risiko global yang seterusnya menjejaskan prestasi kebanyakan bursa di rantau ini.

“Terdahulu, saham Eropah turut jatuh ketika perbinca­ngan perdagangan antara AS dan China yang akhirnya tamat tanpa sebarang perjanjian pada Jumaat lalu.

“Ia dijangka bertambah buruk selepas China mengumumkan cadangan mengenakan tarif lebih tinggi ke atas barangan AS bernilai AS$60 bilion (RM250.24 bilion),” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

JF Apex Research turut menjangkakan Bursa Malaysia boleh merosot di bawah paras 1,550 mata susulan ketegangan perang dagangan antara AS dan China.

Menurut laporan Bloom­berg semalam, dana global tidak berminat dengan Malaysia seterus­nya memihak kepada pasaran lain. Saham mencatat peng­aliran keluar hampir dalam ke­semua 12 bulan yang lalu.

Pengurus Ekuiti GAM Hol­ding AG, Tim Love berkata, indeks saham penanda aras Malaysia telah jatuh lebih lima peratus tahun ini dan merupakan paling teruk dalam pasaran ekuiti utama dunia.

Dalam pada itu FBM KLCI dibuka lebih rendah pada Selasa dengan 29 saham komponen KLCI diniagakan pada paras rendah, menjejaki prestasi suram global.

Pada pukul 9.10 pagi, penanda aras FBM KLCI turun 26.49 mata kepada 1,574.60 daripada 1,601.09 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka 20.24 mata lebih rendah pada 1,580.85 mata.

Bursa Malaysia masih berada dalam suasana negatif pada tengah hari tetapi berjaya mengecilkan kerugian awal berikutan pelabur melakukan belian semasa harga rendah bagi saham-saham wajaran tinggi.

Pada rehat tengah hari, FBM KLCI turun 4.72 mata kepada 1,596.37 berikutan perang perdagangan antara AS-China yang semakin memuncak terus melemahkan sentimen pasaran global.