Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, forum tersebut yang merupakan acara tahunan pasaran modal terbesar di Malaysia akan menampilkan 63 buah syarikat tersenarai Malaysia dengan modal pasaran berjumlah RM913 bilion.

Katanya, Invest Malaysia 2019 dijangka menarik lebih 1,000 pengurus dana tempatan dan serantau termasuklah Thailand, Jepun, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan United Kingdom dengan anggaran aset di bawah pengurusan berjumlah AS$20.16 trilion (RM82.44 trilion).

“Forum Invest Malaysia adalah platform yang sempurna untuk menyatakan cita-cita, tujuan dan kejelasan Malaysia untuk fasa pembangunan seterusnya sekali gus meletakkan negara kembali kepada radar pelabur antarabangsa.

“Pertumbuhan Malaysia masih utuh, walaupun terdapat cabaran yang mungkin berlaku dalam jangka pendek. Ekonominya berdaya tahan dan dinamik, menjadikan negara sebagai pilihan pelaburan yang kukuh dalam dunia yang tidak menentu. Selain itu rangka kerja institusi Malaysia cukup mantap dan fleksibel untuk bertindak balas terhadap sebarang ketidaktentuan,” katanya.

Acara tersebut dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. -UTUSAN ONLINE