Barometer pasaran dibuka 0.91 mata lebih tinggi pada 1,603.21 berbanding 1,602.30 semasa ditutup pada Rabu.

Seorang penganalisis berkata, FBM KLCI dilihat akan meneruskan trajektor menaik untuk melepasi paras 1,610, sebelum mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari(MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Pusat Eropah (ECB) hari ini serta pengumuman oleh FTSE Russell mengenai Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) dalam waktu terdekat.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Nazri Khan Adam Khan baru-baru ini berkata, BNM mungkin melaksanakan satu lagi pengurangan kadar dengan kadar dasar semalaman (OPR) ditetapkan pada 2.75 peratus di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan kitaran penurunan kadar yang sedang dilakukan oleh bank-bank pusat utama seluruh dunia.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 378 berbanding 284, dengan 367 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 15 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.07 bilion unit bernilai RM789.27 juta. - BERNAMA