Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.37 mata kepada 1,604.67 daripada 1,602.30 ketika ditutup pada Rabu. Barometer pasaran itu dibuka 0.91 mata lebih baik kepada 1,603.21.

Harapan bagi rangsangan diwujudkan untuk menyokong pertumbuhan dalam ekonomi utama dunia telah meningkatkan sentimen pelabur menjelang mesyuarat European Central Bank (ECB) hari ini.

ECB dijangka mengurangkan kadar faedah dan memperincikan rancangan bagi langkah rangsangan apabila ia mengakhiri mesyuarat itu pada Khamis.

Minggu depan, pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat melaksanakan pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, menurut Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikanya hari ini.

Bank pelaburan itu berkata, FBM KLCI akan menjejaki prestasi semalaman Wall Street, selepas S&P 500 ditutup di atas paras 3,000 mata buat kali pertama sejak akhir Julai lepas.

S&P 500 naik 0.7 peratus, menghampiri catatan tertinggi baharu, didahului oleh penjagaan kesihatan dan teknologi, khususnya Apple, memandangkan permodalan pasaran syarikat teknologi itu meningkat di atas paras AS$1 trilion susulan pelabur menyambut baik harga iPhone 11 dan langganan Apple TV+ yang lebih rendah.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pasaran lebih tenang selepas kemajuan tambahan dicapai dalam rundingan perdagangan AS-China dengan AS melewatkan pelaksanaan tarif lebih tinggi ke atas barangan keluaran China selama dua minggu pada Oktober.

"Perkembangan positif itu akan membantu mewujudkan pemangkin yang sangat diperlukan ekuiti Malaysia untuk mengekalkan trajektori meningkat yang kini mungkin boleh dilihat menerusi pergerakan indeks utama melepasi paras 1,610 mata," menurutnya.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 153 berbanding 73, manakala 149 kaunter tidak berubah, 1,594 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 90.38 juta unit bernilai RM42.69 juta. - BERNAMA