Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.36 mata kepada 1,604.43 selepas berlegar antara 1,602.8 dan 1,611.48 pada sesi dagangan pagi.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 0.69 mata kepada 1,611.1.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 465 berbanding 219 manakala 331 kaunter lain tidak berubah, 873 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.53 bilion saham bernilai RM1.35 juta.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Genting Malaysia rugi 41 sen kepada RM3.20, Genting Bhd susut 40 sen kepada RM6.25, Public Bank turun 32 sen kepada RM21.28, Petronas Chemicals dan Hartalega masing-masing rendah enam sen kepada RM7.31 dan RM4.99.

Semalam, Genting Malaysia (GENM) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Genting USA (GenUSA), bercadang mengambil alih 46 peratus kepentingan Empire Resorts (Empire) daripada syarikat induk, Kien Huat Realty (KH Realty) pada harga US$128.6 juta atau RM538.8 juta.

Pada masa sama, GENM dan KH Realty akan mewujudkan usaha sama untuk membeli baki saham Empire yang merupakan syarikat permainan dan hiburan.

Mengulas perkembangan itu, Public Investment Bank dalam satu nota penyelikannya berkata : “Kami mengekalkan unjuran pendapatan kami dan cadangan ‘neutral’ terhadap GENM sementara menunggu butiran lanjut mengenai cadangan pengambilalihan itu.

“Bagaimana pun, kami merasakan bahawa pasaran mungkin melihat transaksi pihak berkaitan secara negatif dan kami melihat risiko kelemahan harga saham berikutan pengumuman ini.” - BERNAMA