Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 5.32 mata kepada 1,605.07 selepas dibuka 1.91 mata lebih tinggi pada 1,601.66 berbanding 1,599.75 semasa ditutup semalam.

Maybank Investment Bank Research berkata, peningkatan keyakinan mengenai pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan data ekonomi lebih tinggi telah meningkatkan pasaran semalaman AS dan mungkin berpotensi meningkatkan sentimen domestik yang lesu sebelum ini dalam tempoh terdekat.

"Dari segi teknikal, kami menjangkakan FBMKLCI akan berlegar antara 1,590 dan 1,620 mata hari ini. Sokongan dijangka menurun ke paras 1,585 dan 1,572, " katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 203 berbanding 60, dengan 181 kaunter tidak berubah, 1,504 tidak diniagakan dan 15 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 142.93 juta unit bernilai RM59.04 juta. - BERNAMA