Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.07 mata kepada 1,610.34, selepas naik turun antara 1,588.98 dan 1,610.93 sepanjang sesi dagangan pagi.

FBM KLCI dibuka 17.57 mata lebih rendah pada 1,592.84.

Di Bursa Malaysia, keseluruhan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 572 berbanding 266, manakala 360 kaunter tidak berubah, 689 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.91 bilion saham bernilai RM1.32 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.61 peratus kepada 3,175.11, Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 0.79 peratus kepada 20,556.92 dan Indeks Nikkei 225 Jepun susut 0.71 peratus kepada 25,966.59.

Pasaran hari ini berdepan keadaan tidak menentu susulan aktiviti penjualan semalaman secara besar-besaran di Wall Street ketika Indeks Dow Jones turun hampir 770 mata berikutan kebimbangan terhadap musibah yang mungkin berlaku daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlarutan.

Tambahan pula, yuan China turun ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun kepada 7.05/US$1, kata Rakuten Trade dalam nota hari ini.

“Berdasarkan keadaan itu, Rizab Persekutuan AS mungkin akan didesak untuk menyemak semula kadar faedah rendah untuk menangani yuan yang lemah. Oleh itu, kita mungkin akan menyaksikan beberapa pelarasan sementara buat masa ini dengan belian lemah, terutamanya dalam indeks berkaitan saham perbankan,” katanya. - BERNAMA