Ketua Pegawai Komersial Bursa Malaysia, Selvarany Rasiah berkata, program itu menyasarkan penuntut universiti dan pelajar sekolah dengan melengkapkan pengetahuan yang diperlukan serta kemahiran dagangan.

“Generasi muda merupakan akaun paling pesat berkembang untuk kami buat masa ini. Sebagai contoh, pada tahun ini, kami membuka lebih 40 peratus akaun perkhidmatan depositori pusat (CDS) kepada generasi muda berusia 25 tahun dan ke bawah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan ‘Inter-Varsity Stock Challenge 2019’

(IVSC) di sini hari ini.

IVSC, pertandingan dagangan saham interaktif selama tiga bulan bermula Mei hingga Julai, menarik penyertaan 3,000 penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Multimedia University (MMU) dan Taylor’s University (Taylor’s), melibatkan 787 pasukan.

Dua pasukan daripada Taylor’s iaitu pasukan ‘Goreng’ dan ‘Ikan Bakar’ meraih hadiah utama dan tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi pasukan ‘No Ideas’ daripada MMU.

Mengulas cabaran IVSC, Selvarany berkata, program ini menjurus ke arah membiasakan generasi muda dengan peluang yang mereka ada, jadi ia bukan hanya melibatkan aspek dagangan, malah aspek pembelajaran.

“Sebagai seorang daripada hakim, saya lihat kebanyakan mereka memiliki pengetahuan kukuh selepas penyertaan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama mengenai pendidikan pelabur bersama penggiat pasaran modal, dan ia merupakan pengubah kritikal dalam membantu membangunkan pasaran modal yang mapan dan rancak.

“Kami juga gembira dengan respons positif daripada penyertaan pelajar dan universiti yang terlibat, menunjukkan IVSC mewujudkan kaedah perbualan sesuai bagi menarik minat generasi muda dan membina keyakinan mereka sebagai pelabur yang bijak serta pelabur pasaran modal yang berpengetahuan,” katanya. -BERNAMA