Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 11.35 mata kepada 1,588.96 pada rehat tengah hari selepas pagi ini dibuka 15.40 mata lebih rendah pada 1,584.91.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 666 berbanding 101, manakala 268 kaunter tidak berubah, 898 tidak diniagakan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.10 bilion saham bernilai RM833.95 juta.

Dow Jones Industrial Average mencatatkan kejatuhan ketara sebanyak 800.49 mata kepada 25,479.42, manakala Nasdaq turun 242.42 mata kepada 7,773.94, Nikkei Jepun merosot 288.80 mata kepada 20,366.33 dan Indeks Straits Times Singapura turun 47.29 mata kepada 3,100.31 mata.

Penganalisis kanan pasaran Oanda Asia Pacific Jeffrey Halley berkata kejatuhan ketara pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kebimbangan kepada saham global dan data China dan Eropah yang lemah menunjukkan kedua-dua ekonomi semakin perlahan, diburukkan lagi oleh perang perdagangan antara AS dan China ketika ini.

“Perang perdagangan AS-China telah menjejaskan keyakinan pelabur. Ia kini mengancam untuk menukarkan apa yang selama ini merupakan kelembapan yang teratur dan perlahan, selepas 10 tahun mencatatkan pertumbuhan tidak terganggu, kepada sesuatu yang berpotensi untuk menjadi lebih agresif,” katanya kepada Bernama.

Laporan ekonomi turut mencadangkan kejatuhan pasaran saham AS - yang terburuk dalam tahun ini pada Rabu - merupakan ramalan yang boleh dipercayai mengenai inflasi yang bakal berlaku untuk pertama kali sejak krisis kewangan 2008. - BERNAMA