Petang ini, Bursa Malaysia susut 22.17 mata kepada 1,592.88 mata selepas berlegar antara 1,591.29 hingga 1,615.24 mata.

Pasaran menyaksikan kaun­ter rugi mengatasi untung pada 744 berbanding 173 dengan 276 kaunter tidak berubah.

Penganalisis Kanan di Malacca Securities Sdn. Bhd., Kenneth Leong berkata, pihaknya menjangkakan ketegangan politik yang memuncak di Hong Kong serta perang dagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan menyebabkan kelemahan dalam pasaran.

“Kelemahan mata wang domestik turut mendorong dana asing tidak memasuki ekuiti tempatan. Setakat Jumaat lalu, sebanyak RM6.01 bilion dana asing telah keluar dari pasaran ekuiti negara.

“Sekiranya paras ringgit melepasi RM4.20 berbanding dolar AS, maka kami menjangkakan ringgit akan terus merosot sehingga paras RM4.30,” katanya.

Sementara itu, nota kajian CGS-CIMB pada 9 Ogos menyatakan bahawa pelabur tempatan berhati-hati dengan pasaran dan mereka menunggu corak potensi tema perdagangan untuk separuh kedua tahun ini.

“Antara lima tema yang dibentangkan untuk separuh kedua 2019, para pelabur lebih cen­derung kepada pulangan dividen serta penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” katanya.

Firma penyelidikan itu juga berkata, tiada dorongan utama daripada para pelabur ke atas sasaran KLCI untuk 1,596 mata menjelang hujung tahun ini meskipun ada antara pelabur bimbang terhadap potensi pendapatan yang terjejas daripada penurunan kadar dasar semalaman (OPR), perang dagangan dan semakan semula dasar.

“Mereka bimbang akan prestasi korporat Malaysia yang lemah, reformasi dasar yang berterusan selain isu peralihan kepemimpinan negara,” katanya.