Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.18 mata kepada 1,597.03 berbanding 1,595.85 pada penutupan Selasa.

Indeks dibuka 2.03 mata lebih tinggi pada 1,597.88.

Seorang penganalisis berkata, saham Asia kukuh dalam dagangan awal hari ini ekoran sentimen yang lebih tenang di pasaran global berikutan perang perdagangan AS-China sudah mula reda selain pelabur kini menunggu pengumuman rangsangan oleh Bank Pusat Eropah pada Khamis selain kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS minggu depan.

Selain itu, penggiat pasaran juga memantau rapat perkembangan Brexit, di tengah-tengah kurangnya berita yang dapat menggerakkan pasaran tempatan.

Bagi saham wajaran tinggi, Axiata meningkat 10 sen kepada RM4.21, Petronas Chemical menambah sembilan sen kepada RM7.09, dan Maybank naik dua sen kepada RM8.88.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi saham untung sebanyak 336 berbanding 312, manakala 377 kaunter tidak berubah, 935 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.32 bilion unit bernilai RM772.74 juta. - BERNAMA