Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.87 mata kepada 1,602.62 berbanding 1,599.75 pada penutupan Selasa.

Ia dibuka 1.91 mata lebih tinggi pada 1,601.66.

Seorang peniaga berkata, kebanyakan pasaran Asia meningkat dalam dagangan awal selepas Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju bertemu tidak lama lagi bagi meneruskan rundingan perdagangan.

Beliau berkata, pelabur optimistik bahawa kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu boleh mencapai penyelesaian menerusi rundingan itu.

Menurutnya, pelabur juga akan memantau laporan pekerjaan AS yang akan diumum lewat hari ini, dan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell, yang akan berucap di Switzerland mengenai ekonomi dan dasar monetari.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 321 berbanding 277, manakala 371 kaunter tidak berubah, 979 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 887.64 juta unit bernilai RM663.51 juta. - BERNAMA