Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.72 mata kepada 1,604.47 semasa urus niaga ditutup selepas diniagakan antara 1,599.75 dan 1,606.40 sepanjang hari ini.

Barometer pasaran dibuka 1.91 mata lebih tinggi pada 1,601.66.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, pelabur positif dengan unjuran baik di peringkat global dan jangkaan permintaan lebih tinggi daripada India terhadap minyak sawit mentah (MSM) di masa depan.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan landskap teknikal semasa, kami berpandangan bursa tempatan masih dalam proses untuk pulih. Paras sokongan kukuh adalah antara 1,600 hingga 1,572 mata. Namun paras rintangan segera kekal antara 1,620 dan 1,680 mata, diikuti had paras rintangan psikologi pada 1,700 mata,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata pasaran Asia berada pada aliran menaik hari ini, selari dengan sentimen pasaran global, dirangsang oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan mesyuarat bulan depan antara perunding AS dan China yang menandakan ketegangan perdagangan semakin reda.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 406 berbanding 340, manakala 405 kaunter tidak berubah, 797 tidak diniagakan dan 33 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.67 bilion unit bernilai RM1.44 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM1.58 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menguncup kepada 1.04 bilion saham bernilai RM1.30 bilion daripada 1.28 bilion saham bernilai RM1.46 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 365.06 juta unit bernilai RM80.29 juta daripada 264.55 juta unit bernilai RM48.71 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 257.20 juta saham bernilai RM56.63 juta daripada 310.05 juta saham bernilai RM75.40 juta sebelumnya. - BERNAMA