Semasa urus niaga ditutup hari ini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.43 mata kepada 1,600.31 berbanding 1,592.88 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka 5.48 mata lebih tinggi pada 1,598.36, dan diniagakan antara 1,596.82 dan 1,603.04.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 450 berbanding 319, manakala 402 kaunter kekal tidak berubah, 735 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.40 bilion unit bernilai RM1.65 bilion berbanding 2.19 bilion unit bernilai RM1.69 bilion semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata FBM KLCI dijangka meningkat dalam jangka terdekat, ditengah-tengah keadaan tidak menentu di dunia, dan pada masa yang sama disokong oleh asas pasaran yang semakin baik.

“Untuk prospek masa depan, ketegangan geopolitik dan perang perdagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China kekal menjadi pemacu kritikal, memacu sentimen pasaran tempatan.

‘Berikutan prestasi memberangsangkan dalam pasaran AS, kami jangka FBM KLCI akan mendapat kelegaan pada paras 1,600 dalam teras penangguhan tarif, selepas pentadbiran Presiden Trump mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif yang dijadual dikuatkuasakan pada September terhadap pelbagai produk China, sehingga Disember,” katanya kepada Bernama. -BERNAMA