Penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup 0.39 peratus atau 6.30 mata lebih tinggi kepada 1,602.75 selepas bergerak antara 1,597.13 dan 1,603.43 sepanjang hari.

Barometer pasaran itu dibuka 1.92 mata lebih tinggi kepada 1,598.37.

Di pasaran lebih meluas, sentimen adalah lemah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 400 berbanding 369, manakala 402 kaunter tidak berubah, 783 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.06 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 2.21 bilion unit bernilai RM1.59 bilion semalam.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes berkata dagangan hari ini secara praktikalnya suram memandangkan pelabur menunggu bagi mendapatkan petunjuk jelas di peringkat tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, lanjutan dagangan selama 90 hari oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Huawei telah mewujudkan momentum positif ke arah rundingan perdagangan pusingan seterusnya, memandangkan langkah berkenaan akan berperanan sebagai kemungkinan bentuk tindakan masa depan.

“Ketegangan perdagangan AS-China mungkin telah reda namun berdasarkan keadaan sebelum ini, walaupun dengan keyakinan awal, ia masih menjadi risiko besar,” katanya kepada Bernama.

Presiden AS, Donald Trump semalam berkata rundingan perdagangan antara kedua-dua negara berlangsung dengan baik namun AS tidak bersedia untuk mencapai persefahaman.

Berasaskan pasaran yang kekal tidak menentu, pelabur juga beralih kepada syarikat disokong kerajaan, yang memiliki rekod prestasi kewangan yang kukuh. - BERNAMA