Penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) disokong kebanyakannya oleh minat belian dalam saham-saham wajaran tinggi yang terkait dengan perladangan.

Barometer pasaran dibuka 15.40 mata lebih rendah pada 1,584.91 daripada 1,600.31 yang direkodkan semasa penutup semalam dan berlegar antara 1,581.26 dan 1,600.29 sepanjang hari ini.

Di pasaran yang lebih luas, sentimen kekal lemah berikutan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 616 - 229 manakala 334 kaunter tidak berubah, 754 tidak didagangkan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah lebih rendah pada 1.94 bilion unit bernilai RM1.85 bilion berbanding 2.40 bilion unit bernilai RM1.65 bilion yang dicatatkan pada hari Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran tempatan hari ini bergerak sejajar dengan penurunan drastik semalaman Dow Jones Industrials yang menurun lebih 800 mata menolak penyongsangan keluk hasil Amerika Syarikat (AS) ke dalam perhatian.

“Ini disebabkan para pelabur sedang mengalihkan peruntukan aset mereka kepada pendapatan tetap khususnya bon kerajaan bagi mengekalkan modal pelaburan mereka. Ini terjadi berikutan ketidaktentuan akibat perang perdagangan antara AS dan China,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan FBM KLCI akan kekal tidak menentu sehingga ketegangan perdagangan AS-China berakhir. - BERNAMA