Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.14 mata kepada 1,599.75 pada penutupan selepas didagangkan antara 1,592.841 dan 1,603.79 di sepanjang hari.

Indeks dibuka 1.72 mata lebih rendah pada 1,598.17.

Seorang peniaga berkata, sentimen positif dicatat di bursa serantau sepanjang dagangan hari ini apabila pelabur memperoleh dorongan susulan berita bahawa pegawai Amerika dan China akan bertemu awal bulan depan dalam rundingan baharu perdagangan.

Pasaran serantau juga terjejas oleh berita mengenai usaha penggubal undang-undang Britain untuk tidak lagi merundingkan Brexit selain pemimpin Hong Kong berusaha meredakan pergolakan di hab kewangan utama Asia.

Beliau berkata pelabur kini mungkin memberi tumpuan kepada kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Jerome Powell dan laporan terbaru pekerjaan di AS, kedua-duanya dijadual diumumkan pada Jumaat, di tengah-tengah unjuran pelaksanaan pelonggaran monetari selanjutnya.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 431 berbanding 308, manakala 428 kaunter tidak berubah, 770 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.85 bilion unit bernilai RM1.58 bilion berbanding 2.49 bilion unit bernilai RM1.73 bilion. - BERNAMA