Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.44 peratus atau 7.09 mata kepada 1,604.7 daripada 1,611.79 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu yang dibuka 0.69 mata lebih rendah pada 1,611.1, turut berlegar dalam lingkungan paras 1,602.8 dan 1,611.48 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 499 berbanding 313 manakala 402 kaunter tidak berubah, 674 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.57 bilion unit bernilai RM2.56 bilion berbanding 3.13 bilion unit bernilai RM2.62 bilion pada Selasa.

Sentimen pasaran secara menyeluruh turut dijejaskan oleh perkembangan membabitkan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, ketidaktentuan mengenai perang dagangan tersebut telah memberi kesan jangka pendek ke atas pasaran Malaysia yang turut menyebabkan penyusutan nilai ringgit dan harga minyak dengan sebahagian besar pelabur memilih berada di luar pasaran.

“Kami tidak terkejut dengan perubahan yang berlaku itu berdasarkan rasional bahawa peruncit akan membeli pada harga murah manakala pelabur institusi pula menumpukan usaha mengumpulkan rizab tunai.

“Oleh kerana perang dagangan itu kian meruncing, kami menjangkakan kelemahan pasaran domestik terus ketara berikutan kebimbangan mengenai bentuk tindak balas Amerika Syarikat (AS) yang hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Nazri Khan berkata, FBM KLCI juga dijangka menyaksikan pemulihan daripada aktiviti jualan ketara daripada paras sokongan psikologi 1,600, dipacu oleh aktiviti belian pada harga rendah dan jualan berlebihan di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan AS-China.

“Secara keseluruhannya, terdapat aliran peningkatan jangka pendek bagi FBM KLCI ekoran pemulihan selepas jualan berlebihan dan aktiviti mencari saham berharga rendah walaupun terdapat petunjuk amaran yang kian ketara di peringkat luaran,” katanya. - BERNAMA