Petunjuk penanda aras, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) turun 0.51 peratus atau 8.16 mata kepada 1,594.59 di akhir dagangan, selepas mencecah setinggi 1,601.90 sebelum itu hari ini.

Barometer pasaran tersebut dibuka 1.51 mata lebih rendah kepada 1,601.24.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 447 berbanding 318, manakala 405 kaunter kekal tidak berubah, 783 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.99 bilion unit bernilai RM1.62 bilion daripada 2.06 bilion unit bernilai RM1.73 bilion semalam.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran hari ini didagangkan dalam jajaran kecil memandangkan kebimbangan terus mempengaruhi sentimen pelaburan global.

“Bank-bank pusat utama di seluruh dunia baru-baru ini telah mengurangkan kadar faedah mereka. Dari sudut positif, ia merupakan langkah yang baik kerana pertumbuhan ekonomi tempatan akan kembali stabil.

“Bagaimanapun, pada spektrum yang lain, ia menunjukkan sentimen ketara bahawa pasaran global agak lemah pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Dari segi pelaburan, Mohd Afzanizam berkata, keadaan itu telah menyebabkan penghindaran risiko, mendorong pusingan sektor daripada ekuiti kepada bon memandangkan pelabur mencari perlindungan daripada ketidaktentuan ekonomi dunia.

Beliau berkata, pelabur juga bertindak menunggu petunjuk hala tuju seterusnya daripada simposium tahunan Jackson Hole oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS) minggu ini, dengan bank pusat itu dijangka memperkenalkan langkah selanjutnya untuk menggalakkan pertumbuhan.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell pula dijadualkan memulakan simposium berkenaan pada Jumaat dengan pembentangan mengenai cabaran yang dihadapi dasar monetari termasuk penurunan kadar faedah. - BERNAMA