Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.45 mata untuk ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,602.30.

Barometer pasaran dibuka tinggi 2.03 mata kepada 1,597.88.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata, walaupun ketidaktentuan menyelubungi kegagalan gabungan mega Axiata-Telenor, FBM KLCI berjaya dibuka tinggi.

Beliau berkata, kaunter berkaitan minyak dan gas mencatatkan prestasi kukuh sejajar dengan pengukuhan harga minyak global.

Bagaimanapun katanya, pelabur asing beralih daripada pasaran kewangan Malaysia berikutan data rizab antarabangsa kasar yang tidak menggalakkan yang susut 0.4 peratus kepada AS$103.5 bilion (RM432.03 bilion) sehingga 30 Ogos 2019.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan FBM KLCI berada pada sekitar 1,600 dengan sentimen menyelubungi penggabungan syarikat telekomunikasi baru-baru ini serta penyedia perkhidmatan minyak dan gas akan mencatat prestasi yang baik berikutan harga minyak global berharap Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan mengurangkan pengeluaran.

“Memandangkan prospek OPEC dan pengeluar minyak utama mengukuhkan pakatan mereka untuk mengurangkan turun naik harga minyak dengan permintaan tenaga yang berkurangan, pelabur yang agresif mungkin mempertimbangkan untuk memanfaatkannya,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga sedang mengenal pasti ruang fiskal untuk mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan tidak memperkenalkan langkah-langkah cukai baharu dalam Belanjawan 2020 yang akan datang.

Menurut MOF, langkah-langkah pengembangan tersebut akan membantu meningkatkan keyakinan sektor korporat dan komuniti pelaburan.

Oleh itu, Nazri berkata, Bank Negara Malaysia dijangka memulakan satu lagi penurunan kadar dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ditetapkan pada 2.75 peratus dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kitaran pelonggaran yang berterusan daripada bank-bank pusat utama di seluruh dunia.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat juga perkembangan positif dari China berhubung pemansuhan had kuota pelaburan ke atas ekuiti Pelabur Institusi Asing Berkelayakan (QFII) dan Pelabur Institusi Asing Berkelayakan Renminbi (RQFII).

“Selain itu, kerajaan China telah mengumumkan pengecualian produk tertentu yang diimport dari Amerika Syarikat.

“Perkembangan tersebut akan memberi laluan kepada perbincangan dua hala yang dijadualkan bulan depan yang dapat mengurangkan pertikaian.

“Ini boleh membawa kepada sentimen yang lebih baik dalam Bursa Malaysia. FBM KLCI masih pada kedudukan terlebih jual dan mungkin terdapat pemulihan teknikal dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama. - BERNAMA