Penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) hampir pulih daripada kerugian pada awalnya susulan pengumuman KDNK itu, dan untuk seketika ia melepasi paras rintangan 1,600 sebelum turun semula untuk ditutup pada paras 1.599.22.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, sentimen kekal kukuh dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 390 berbanding 325, manakala 420 kaunter kekal tidak berubah, 795 tidak diniagakan dan 14 lain digantung.

Indeks barometer pasaran dibuka 2.23 mata lebih rendah pada 1,598.06 daripada 1,600.29 semasa ditutup semalam dan bergerak antara 1,590.18 dan 1,600.17 sepanjang hari.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.78 bilion unit bernilai RM1.44 bilion berbanding 1.94 bilion unit bernilai RM1.85 bilion semalam.

Ketua penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata pelabur kekal berhati-hati selepas dua hari aktiviti jualan pada kadar banyak dan selari dengan penurunan oleh Purata Perindustrian Dow Jones pada Isnin dan Rabu.

“Kami dapat melihat pada keseluruhan papan bahawa kaunter untung memang mengatasi kaunter rugi, tapi pada kadar kecil. Ini merupakan petunjuk bahawa pelabur tidak mahu tergesa-gesa memasuki pasaran dan terperangkap dalam keadaan pasaran yang turun naik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, barometer pasaran akan terus diniagakan antara 1,580 hingga 1,600 sebelum mencecah paras rintangan.

“Semua tumpuan kekal pada keadaan global. Bagaimanapun, ekonomi domestik telah membuktikan daya tahannya di sebalik keadaan ekonomi yang mencabar,” kata Pong.

- BERNAMA