Penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup 2.77 mata lebih rendah pada 1,596.45 selepas didagangkan antara 1,594.84 dan 1,602.03 di sepanjang hari.

Indeks dibuka 3.71 mata lebih rendah pada 1,595.51 selepas ditutup 1,599.22 Jumaat lepas.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara meluas, sentimen kekal kukuh dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 429 berbanding 349, manakala 401 kaunter tidak berubah, 751 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.21 bilion unit bernilai RM1.59 bilion berbanding 1.78 bilion unit bernilai RM1.44 bilion Jumaat lepas.

Rakan pengurusan VM Markets Pte. Ltd., Stephen Innes berkata, kesan domino minggu lepas dari China dan masalah ekonomi di zon Euro menyebabkan keluk Amerika Syarikat (AS) terbalik sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pelabur apabila munculnya amaran mengenai kemelesetan.

“Dengan enjin ekonomi dunia masih tidak menentu dan mengharapkan beberapa bank pusat utama melaksanakan pelan rangsangan, pelabur masih menaruh harapan ke atas dasar bank pusat,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata, selepas beberapa penurunan kadar yang mengejutkan oleh pelbagai bank pusat sejak beberapa minggu lepas disebabkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta ketegangan perdagangan global, pelabur sudah pasti mengharapkan Rizab Persekutuan AS menurunkan lagi kadar faedah pada 18 September.

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dengan penuh keyakinan dan mengukuh kepada sasaran akhir tahun pada 1,720 mata dan pada separuh pertama, RM5 bilion jumlah aliran masuk bersih dicatatkan dengan penerima manfaat utama terdiri daripada saham utiliti, penjagaan kesihatan dan saham berkaitan minyak dan gas.

“Purata harian dagangan masih berada pada tahap yang sihat melepas RM2.03 bilion saham dalam sehari walaupun berlaku aliran keluar bersih semasa.

“Indeks modal kecil FBM dan Indeks FBM 70 jauh melebihi prestasi Indeks FBM KLCI pada asas tahunan mencatatkan keuntungan masing-masing sebanyak 15.8 peratus dan 8.1 peratus,” katanya. - BERNAMA