Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.7 mata kepada 1,598.24 selepas dibuka naik 1.92 mata kepada 1,598.37.

Penanda aras itu ditutup pada 1,596.45 semalam.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 131 berbanding 67 manakala 172 kaunter tidak berubah, 1,584 tidak didagangkan dan 14 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 95.17 juta unit bernilai RM40.58 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, pasaran ekuiti dijangka pulih selepas mengalami kejatuhan ketara baru-baru ini didorong oleh prospek ekonomi tempatan yang stabil dan ketegangan global yang dilihat lebih reda.

“Oleh itu, kami percaya Bursa Malaysia dalam proses meningkat semula dan berkemungkinan kekal menyederhana pada masa ini dengan indeks utama sekitar tahap 1,600 mata yang merupakan kadar rintangan segera,” katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.

Paras rintangan pula adalah sekitar 1,601-1,620 manakala sokongan pada 1,590 dan 1,580.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata, para pelabur juga menyasarkan saham-saham Digi dan Axiata Telenor berikutan penggabungan kedua-dua syarikat yang dilaporkan masih dalam peringkat rundingan selepas berdepan cabaran tertentu.

“Bagaimanapun, kami percaya masalah itu akan dapat dileraikan ketika pelabur melihatnya sebagai peluang besar berikutan beberapa pencapaian bermaknanya sebelum ini, baik bagi industri telekomunikasi tempatan mahu pun serantau,” katanya. - BERNAMA