Di peringkat tempatan, data mengenai aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan domestik yang lemah menyebabkan pelabur tidak memasuki pasaran buat masa ini, dengan ketidaktentuan global.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.59 mata kepada 1,595.88.

Barometer pasaran dibuka rendah 6.7 mata kepada 1,595.77 berbanding 1,602.47 semasa ditutup semalam.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 134 berbanding 98, manakala 153 kaunter tidak berubah, 1,573 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 76.65 juta unit bernilai RM51.21 juta.

Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, indeks utama berjaya mencatatkan pemulihan semalam, bagaimanapun keadaan pasaran masih dilihat tidak menentu dengan pasaran yang lebih luas menjadi bercampur-campur.

“Menjelang hari dagangan terakhir minggu ini, kami melihat pemulihan dalam masa terdekat untuk saham berkaitan indeks berikutan ia terus menyesuaikan daripada terlebih jual,” katanya.

Laporan ekuiti turut menunjukkan peserta pasaran memberi tumpuan kepada pengumuman mengenai kadar faedah dan perkembangan mengenai perdagangan.

Powell dijangka menunjukkan sama ada bank pusat AS akan terus menurunkan kadar faedahnya dan menyentuh mengenai pertikaian perdagangan antara AS dan China di simposium Jackson Hole di Wyoming, hari ini.

Pemimpin G7 turut mengadakan mesyuarat pada hujung minggu ini dan antara perbincangan utama ialah isu-isu ekonomi antarabangsa seperti teknologi, perdagangan dan Tabung Kewangan Antarabangsa. - BERNAMA