Bursa Malaysia dalam kenyataannya berkata, CSL telah gagal mengumumkan atau menerbitkan laporan suku tahunan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2017 sehingga 30 September 2018 dan laporan tahunan bagi tahun kewangan 18 bulan yang berakhir 30 Jun 2018.

Katanya, Xingquan pula gagal mengumumkan atau menerbitkan laporan suku tahunan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2017 hingga 30 September 2018 dan laporan tahunan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2017.

“Kedua-dua syarikat telah melebihi tempoh enam bulan dari tempoh yang ditetapkan seperti yang diperuntukkan di bawah perenggan 9.22(1) dan 9.23(1) syarat penyenaraian utama hingga kini. Dalam keadaan ini, sekuriti (CSL dan Xingquan) akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Securities pada 16 Ogos melainkan sekiranya syarikat itu mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities dalam tempoh lima hari pasaran dari hari ini iaitu pada 13 Ogos.

“Sekiranya syarikat itu mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities dalam jangka masa rayuan, penyingkiran sekuriti itu akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan syarikat tersebut,” katanya. - BERNAMA