Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Umar Swift berkata, Bursa Malaysia menyaksikan 22 penyenaraian baharu setakat ini tahun ini yang meliputi 12 penyenaraian di pasaran LEAP, tujuh di pasaran ACE dan tiga di pasaran utama.

“Bagi tempoh berbaki dalam tahun fiskal ini, kami menjangkakan sekurang-kurangnya empat, atau lebih, bergantung kepada nasihat,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian MMIS Bhd. di pasaran LEAP hari ini.

Muhammad Umar juga berkata penggiat pasaran perlu memberi tumpuan terhadap saham bermodal kecil dan sederhana berbanding saham FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memandangkan saham bermodal kecil dan sederhana telah merekodkan pertumbuhan yang kukuh setakat ini tahun ini.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, prospek pasaran adalah lebih baik tahun ini berbanding 2018, terutama di pasaran ACE dan pasaran LEAP, hasil sokongan kukuh pelabur institusi tempatan.

Beliau berkata, sentimen pasaran kekal positif, terutama didokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh sebanyak 4.7 peratus pada separuh pertama tahun ini.

“Pada separuh pertama tahun ini, modal yang dikumpul di Malaysia lebih tinggi berbanding negara lain di ASEAN, tidak termasuk amanah pelaburan hartanah (REIT).

“Saya rasa ini sangat positif, dan kami sangat gembira,” katanya. - BERNAMA