Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.01 peratus atau 16.35 mata untuk ditutup kepada 1,610.41 berbanding 1,626.76 yang dicatatkan pada Jumaat.

FBM KLCI yang dibuka 5.64 mata lebih rendah kepada 1,621.12 bergerak antara 1,610.41 dan 1,621.68 sepanjang hari ini.

Kaunter rugi mengatasi untung di pasaran lebih luas sebanyak 828 berbanding 163, manakala 287 kaunter tidak berubah, 609 tidak diniagakan dan 18 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.67 bilion unit bernilai RM1.86 bilion berbanding 2.22 bilion unit bernilai RM1.76 bilion pada Jumaat.

Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, sentimen di pasaran saham masih dilihat lemah, berikutan perang perdagangan antara AS-China yang meningkat, dan turut dijangka menyebabkan trend global yang kurang memberangsangkan berpanjangan.

“Saham-saham berharga rendah dan saham pasaran meluas juga mengalami prestasi yang tidak banyak berubah dijangka akan berterusan untuk jangka masa terdekat.

“Sama seperti saham berkaitan indeks, kami melihat saham turut mencatatkan aktiviti jualan yang meningkat berikutan sentimen ekuiti lemah, dan ini menyebabkan ramai peserta runcit terus tidak memasuki pasaran,” katanya dalam nota hari ini. - BERNAMA