Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, keyakinan itu menunjukkan kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya dalam usahanya mentransformasikan kewangan negara.

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG

“Kerajaan menghargai pihak Jepun memberi jaminan bon ini. Ia sekali gus menunjukkan hasil hubungan rapat kedua-dua negara dan pengaruh besar Dr. Mahathir,” katanya ketika majlis meraikan kejayaan terbitan bon berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.

Kerajaan sebelum ini berjaya menerbitkan Bon Samurai dengan jaminan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) bagi had tempoh matang 10 tahun dengan kos keseluruhan kepada kerajaan Malaysia sebanyak 0.63 peratus setahun.

Hasil kutipan daripada terbitan Bon Samurai itu akan digunakan untuk membiayai perbe­lanjaan pembangunan yang antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur.

Mizuho Bank, HSBC Malaysia dan Daiwa Securities dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank merupakan pengatur utama bersama bagi terbitan tersebut.

Dalam pada itu, Miyagawa berkata, Malaysia dilihat berada di landasan betul dalam usaha me­ngurangkan beban hutang­nya.

Jelas beliau, kerajaan Jepun amat berbesar hati kerana dapat membantu kerajaan Malaysia.

“Tahniah di atas kejayaan terbitan bon ini dan kami harap ia dapat me­lonjakkan ekonomi Malaysia ke arah hasil yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Malaysia sudah mene­rima hasil kutipan daripada terbitan Bon Samurai itu.

“Kita sudah dapat duit itu. Duit itu dalam akaun kita (akaun kerajaan Malaysia),” katanya ringkas.